Penstrukturan Semula Akaun Ahli KWSP Untuk Meningkatkan Simpanan Persaraan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menstrukturkan semula akaun ahlinya berkuat kuasa 2 Januari 2007 dalam usaha meningkatkan jumlah simpanan persaraan mereka.
Dengan penstrukturan semula akaun ini, bilangan akaun ahli akan digabungkan kepada dua daripada tiga akaun sekarang, iaitu Akaun 1 (70 peratus daripada simpanan ahli) dan Akaun 2 (30 peratus daripada simpanan ahli). Buat masa ini, ahli mempunyai tiga akaun iaitu Akaun 1 (60 peratus daripada simpanan ahli), Akaun 2 (30 peratus) dan Akaun 3 (10 peratus).
Buat permulaan, simpanan yang kini terdapat dalam Akaun 3, yang digunakan untuk pengeluaran berkaitan penyakit -penyakit kritikal akan diserapkan ke dalam Akaun 2. Caruman yang dibuat selepas 2 Januari 2007 akan disalurkan ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing dengan pembahagian sebanyak 70 peratus dan 30 peratus. Langkah ini membolehkan ahli memperoleh jumlah simpanan yang lebih besar untuk pengeluaran perumahan, pendidikan, 50 tahun dan kesihatan.
“Dengan perubahan ini, ahli perlu merancang keutamaan pengeluaran pra-persaraannya dengan lebih berhati -hati. Ini kerana semua pengeluaran ini dibuat daripada akaun yang sama iaitu Akaun 2.
“Penstrukturan semula akaun ahli daripada tiga kepada dua akaun ini memberikan banyak manfaat kepada ahli dalam jangkamasa panjang. Ia akan meningkatkan jumlah simpanan persaraan dan ahli mempunyai lebih kawalan terhadap simpanan mereka untuk kegunaan semasa,” kata Encik Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.
Sebagai rekod, simpanan di Akaun 1 tidak boleh dikeluarkan sebelum ahli berumur 55 tahun. Bagaimanapun, ahli boleh melaburkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 dalam pelaburan yang diuruskan oleh pengurus dana luaran yang diluluskan.
Berkuat kuasa 2 Januari 2007, pengeluaran 55 tahun yang dibuat sebelum dividen 2006 diisytiharkan, KWSP akan membayar dividen minimum sebanyak 2.5 peratus dahulu ke atas simpanan yang dikeluarkan. Bakinya akan dibayar selepas kadar dividen sebenar diisytiharkan. Langkah ini dibuat untuk kepentingan ahli kerana mereka akan menerima bayaran dividen berdasarkan kadar dividen sebenar. Sebelum ini bayaran dividen adalah berdasarkan kadar dividen terakhir yang diumumkan.
Bayaran dividen tambahan akan dimasukkan ke dalam akaun bank ahli secara automatik tidak lewat dari seminggu selepas dividen diisytiharkan. Oleh itu, ahli diminta memastikan akaun bank mereka terus aktif.
Dalam mencadangkan perubahan ini, KWSP mengambil kira bahawa simpanan persaraan ahli akan berkurangan dalam tempoh purata 1 hingga 10 tahun selepas pengeluaran penuh dibuat pada umur 55 tahun.
Bagi melaksanakan perubahan penting ini, KWSP perlu menggantikan sistem teknologi maklumat yang sedia ada dengan sistem teknologi maklumat baru. Berikutan itu, terdapat sedikit kelewatan dalam memproses permohonan pengeluaran simpanan yang diterima dalam bulan Disember 2006.
Bagaimanapun, keadaan ini hanya sementara dan permohonan berkenaan dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir Januari 2007.
“KWSP memohon ahli bersabar dan memahami keadaan semasa tempoh peralihan sistem teknologi maklumat ini kerana ia dibuat untuk kepentingan masa depan ahli,” kata Nik Affendi.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) adalah skim simpanan nasional yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatanyang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio -ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
Tarikh: 29 Disember 2006
4 Disember, 2009 at 1:58 pm
Bagaimana kalau saya mgeluarkan akaun 2kwsp saya untuk buat pembayaran credit card yg bejumlah Rm6000.oleh kerna saya baru berhenti kerja kerna ingin menjaga anak2 saya.dan tidak mampu membayar card kredit tersebut.oleh yang demikian saya ingin buat pengeluaran kwsp akaun 2 saya .